PASUKAN PENGAMAN MALAYSIA TIBA DI PHONM PENH
Tarikh Peristiwa pada 15-03-1992
Sumber: http://www.arkib.gov.my/
Pada hari ini dalam tahun 1992, kumpulan pertama seramai 47 anggota tentera Malaysia telah tiba di Kemboja bagi menyertai misi pengaman terbesar dalam sejarah antarabangsa. Kumpulan pertama yang diketuai oleh Kolonel Mohd Arshad Mohd Raji daripada Markas Lima Briged Kota Kinabalu ini terdiri daripada 15 orang pegawai dan 32 orang anggota daripada lain-lain pangkat. Kontinjen awal ini telah diterbangkan dengan dua pesawat TUDM C130H dan telah mendarat di Battambang yang terletak di Sempadan Thailand - Kemboja.
Seramai 850 anggota tentera Malaysia telah berkhidmat dalam misi pasukan pengaman ini dengan 655 anggota daripadanya dari Batalion Pertama Rejimen Renjer. Tugas utama pasukan pengaman ke Kemboja adalah untuk memulihkan keamanan negara Kemboja setelah musnah akibat perang saudara di antara empat puak yang bertelagah. Misi ini juga melibatkan tugas mengawasi gencatan senjata, memberi perlindungan kepada 500,000 pelarian, memerhatikan keselamatan, membuat perhubungan dan laporan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antara kejayaan cemerlang pasukan tentera Malaysia dalam melaksanakan misi ini, ialah berjaya mengendalikan seramai 4.7 juta penduduk ketika pilihan raya bagi sektor Battambang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan