16 Sep 2012

SYED SHEIKH AHMAD AL-HADI


MAJALAH AL-IKHWAN DITERBITKAN
Tarikh Peristiwa pada 16-09-1926



Perkembangan suratkhabar dan majalah di negara kita adalah berkait rapat dengan perkembangan politik, ekonomi dan sosial rakyat. Sesebuah majalah dan suratkhabar yang diterbitkan mempunyai matlamat dan cita-cita tersendiri. Majalah Al-Ikhwan adalah salah sebuah majalah yang diterbitkan pada 16 September 1926. Penerbitannya diusahakan oleh tokoh wartawan terkenal Syed Sheikh b. Ahmad Al-Hadi. Majalah ini diterbitkan di Pulau Pinang. Semasa mula-mula diterbitkan, majalah ini dicetak oleh The British Malaya Company dan kemudian oleh Jelutung Press, Pulau Pinang. Suratkhabar ini dalam tulisan jawi diterbitkan sebulan sekali pada tiap-tiap 16 haribulan. Penerbitan majalah Al-Ikhwan bermula pada hari ini 16 September 1926 dan yang terakhir ialah pada 16 Disember 1931.

  Syed Sheikh adalah pengarang dan penerbit kepada akhbar ini. Beliau yang terkenal dari golongan kaum muda menulis mengenai masalah-masalah sosial, agama dan perkara-perkara yang menimbulkan pertelingkahan antara kaum muda dan kaum tua. Kaum muda diwakili oleh golongan pelajar-pelajar agama yang mendapat pendidikan di luar negeri seperti di Mesir, manakala kaum tua adalah golongan yang telah sedia ada memperjuangkan agama dan politik mengikut cara lebih diplomasi.  Melalui Al-Ikhwan idea-idea baru mengenai sahsiah, ekonomi, sosial dibincangkan dalam panjang lebar bagi menyedarkan rakyat tentang pergolakan semasa dalam dan luar negara. Dalam keluaran pertama Al-Ikhwan pada hari ini Syed Sheikh telah menggariskan beberapa perkara yang akan diliputi oleh majalah ini.  Antara lain beliau menyatakan Majalah Al-Ikhwan menyeru sekalian muslimin untuk sama-sama merebut kejayaan, menjalankan kebajikan, berpegang kepada agama Islam, berusaha menuntut ilmu, membawa berita-berita dari luar negara dan sebagainya.  Secara tegas beliau menyatakan juga bahawa Al-Ikhwan tidak akan mencampori dan membahaskan perkara-perkara politik kerajaan dan tidak mencerita atau membahaskan hal ehwal seseorang. Penerbitan Majalah ini hanya sehingga Disember 1931, apabila Syed Sheikh kemudiannya telah memberhentikan penerbitannya dan menerbitkan akhbar baru dikenali sebagai `Saudara'.  Nama Saudara adalah sebagai nama pilihan kepada Al-Ikhwan yang terdahulu.  Suratkhabar ini diteruskan oleh anaknya iaitu Syed Alwi b. Syed Sheikh Ahmad Al-Hadi. Penerbitan majalah Al-Ikhwan pada hari ini dalam tahun 1926 adalah salah satu bukti tentang perkembangan pemikiran rakat yang sentiasa berkembang dan merupakan sebahagian daripada bukti-bukti sejarah pembangunan rakyat keseluruhannya.

Siapa gerangan Syed Sheikh bin Syed Ahmad Al-Hadi. Nama tokoh ini hanya tertera sedikit saja didalam buku teks  sejarah sebagai tokoh yang mempelopor gerakan kaum muda  yang membangkitkan semangat kebangsaaan menentang penjajah menuntut kemerdekaan. Secara jujur penulis tidak mengetahui mengenai tokoh tersohor ini sehingga menarik perhatian penulis dari seberang memuatkan cerita mengenai tokoh ini.

Penulis sebenarnya amat kagum dengan tokoh Syed Sheikh bin Syed Ahmad Al-Hadi. mengenai pemikiran yang menyemai semangat  golongan melayu mengenai semangat kebangsaan yang mendahului zaman. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan