HARI INI DALAM SEJARAH MALAYSIA
Tarikh Peristiwa pada 11-03-1988
Sumber: http://www.arkib.gov.my/
Pada hari ini dalam tahun 1988, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Masjid Negeri yang baru bagi Negeri Selangor telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Masjid yang dibina dengan menggabungkan seni bina tradisi Islam dan tradisi Melayu telah direka bentuk oleh arkitek terkenal Malaysia, Datuk Baharuddin Abu Kassim iaitu arkitek yang bertanggungjawab mereka bentuk Masjid Negara.
Masjid ini didirikan di kawasan seluas 14.6 hektar terletak di pusat bandar Shah Alam, berdiri megah dengan landskapnya yang indah dengan berkedudukan di sebahagian Tasik Shah Alam iaitu Tasik Raja Lumu. Di dalam titah perasmiannya, baginda Sultan berharap agar masjid ini dapat dimakmurkan sehingga ianya dapat memancarkan nikmat ilmu, iman dan amal demi kepentingan Islam serta keagungan ummahnya. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini berkeupayaan menampung seramai 24,000 jemaah pada satu-satu masa terdiri daripada tiga tingkat. Perletakan batu asas bagi pembinaan masjid ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 8 Mac 1980 dengan kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 1 Oktober 1983. Ia telah siap sepenuhnya pada 15 Ogos 1987 dengan menelan belanja sebanyak RM160 juta ringgit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan