4 Mac 2012

HARI INI DALAM SEJARAH MALAYSIA

Tarikh Peristiwa pada 03-03-1992

Sumber : http://www.arkib.gov.my/

Pada  hari  ini  dalam  tahun  1992,   Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan  Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah  telah  berkenan  menyempurnakan penganugerahan  panji-panji Diraja kepada Rejimen  Renjer  yang diadakan  dengan  penuh  istiadat  ketenteraan  di Stadium Perak.  Seramai 668 orang anggota termasuk 39 orang pegawai telah mengambil bahagian  dalam  perbarisan  mengarak  panji-panji  Diraja yang diketuai oleh  Lt.  Kolonel Zulkapli Abdul Rahman.  Turut berangkat menyaksikan upacara  yang penuh  bersejarah  itu  ialah  Raja Permaisuri Agong, Tuanku  Siti Bainun binti Mohd Ali,   Raja  Perlis  selaku  Kolonel Yang dipertua Renjer dan Raja Perempuan  Perlis;  Pemangku  Raja Perak, Raja Nazrin  Shah;  Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib; Panglima Tentera Darat,  Jeneral Tan Sri Yaacob Mohd Zain serta  pegawai-pegawai Tinggi Tentera dan orang-orang kenamaan.  Dalam  titah,  baginda  berharap  agar  semua  perwira  dan  perajurit  rejimen  Renjer  menyambut  pengurniaan  panji-panji  ini  dengan  penuh  azam  dan  semangat  perjuangan  yang  tinggi  untuk  terus  mempertahankan  kedaulatan  agama,  bangsa  dan  negara.  Pengurniaan  panji-panji  ini sebagai  menghargai  serta  mengenang  jasa  bakti,  pengorbanan,  kesetiaan yang  telah  dicurahkan  oleh  Rejimen Renjer yang ditubuhkan  pada 16 September 1963   kepada  agama,  bangsa  dan  negara.




Penubuhan Rejimen Renjer ini ada hubungkaitnya dengan pasukan ‘SARAWAK RANGERS’ yang dibubarkan pada 15 September 1963 sehari sebelum penubuhan Rejimen Renjer iaitu pada hari tertubuhnya Negara malaysia, maka ciri-ciri dan rekabentuk lambang ini juga telah diambil dari lencana “Sarawak Rangers’ pada masa itu. Bagaimanapun Lambang tersebut telah beberapa kali diubahsuai mengikut keperluan semasa. Pada mulanya tulisan ‘Sarawak Rangers’ digunakan apabila ditubuhkan dan ditukarkan kepada ‘ASKAR RENJER MALAYSIA’. Kemudiannya ditukarkan kepada ‘RENJER MALAYSIA’ setelah diserahkan oleh kerajaan British kepada Kerajaan Malaysia pada 4 Oktober 1965 dan digantikan kepada ‘REJIMEN RENJER’ setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyamaan Pakaian Angkatan Tentera pada tahun 1971. Setelah istiadat penganugerahan Panji-panji Diraja disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 3 Mac 1992, perkatan ‘REJIMEN RENJER DIRAJA’ telah digunakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan