HARI INI DALAM SEJARAH MALAYSIA
Tarikh Peristiwa pada 30-05-1966
Sumber: http://www.arkib.gov.my/
Pada hari ini dalam tahun 1966, satu persidangan damai Malaysia-Indonesia telah diadakan di Bangkok, Thailand. Persidangan ini bertujuan untuk menamatkan konfrantasi di antara kedua buah negara yang berjiran ini. Perwakilan Malaysia telah diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Malaysia, Tun Abdul Razak bin Hussein, manakala perwakilan Republik Indonesia pula diketuai oleh Dr. Adam Malik, Menteri Luar merangkap Menteri Hal Ehwal Politik Republik Indonesia. Di antara persetujuan yang dicapai dalam rundingan ini ialah persetujuan kedua-dua buah negara untuk memberikan kebebasan kepada Sabah dan Sarawak bagi menentukan kedudukan mereka dalam gagasan Malaysia melalui pilihan raya umum. Kedua-dua buah negara juga telah mencapai kata sepakat untuk memulihkan hubungan diplomatik dan memberhentikan pemusuhan dengan secepat mungkin. Lanjutan daripada persidangan ini, satu perjanjian untuk memulihkan hubungan, iaitu Normalisation Agreement telah ditandatangani pada 11 Ogos 1966. Dengan termeterainya perjanjian ini hubungan di antara Malaysia-Indonesia telah untuk menuju ke arah persefahaman dan kerjasama yang lebih erat.
KONFRONTASI INDONESIA
20 Januari 1963: Menteri Luar Indonesia, Soebandrio mengumumkan Indonesia mengambil sikap bermusuhan terhadap Malaysia.
12 April 1963: Sukarelawan Indonesia mula menyeberang masuk sempadan Sarawak dan Sabah untuk menyebarkan propaganda, melakukan serangan dan sabotaj.
27 Julai 1963: Presiden Sukarno mengumumkan “Ganyang Malaysia” yang menjadi ikon bagi konfrontasi Indonesia-Malaysia.
16 September 1963: Pembentukan Malaysia.
18 September 1963 dan seterusnya: Rusuhan di hadapan kedutaan British dan Singapura di Jakarta. Ejen Indonesia ditangkap di Kuala Lumpur. Rakyat Malaysia membalas dengan mengepung Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur. Di sepanjang perbatasan di Kalimantan, berlaku peperangan perbatasan; pasukan Indonesia dan pasukan tak resminya mencuba menduduki Sarawak dan Sabah, tetapi gagal.
1964: Indonesia mula menyerang negeri di Semenanjung Malaysia.
Ogos 1964: Enam belas ejen bersenjata Indonesia ditangkap di Johor. Kawalan TLDM dipertingkatkan di perairan Malaysia.
17 Ogos 1964: Pasukan tentera payung terjun Indonesia mula dikesan mendarat di pantai barat Johor.
2 September 1964: Pasukan tentera payung terjun Indonesia dikesan mendarat di Labis, Johor.
29 Oktober 1964: 52 Tentera Indonesia mendarat di Pontian, Johor. Berjaya ditangkap oleh pasukan RAMD.
Januari 1965: Australia membantu mengirimkan 3 rejimen tentera dan 1 rejimen SAS bagi menambah kekuatan 14,000 tentera British dan Commonwealth sedia ada.
Pertengahan 1965: Indonesia mula menghantar Tentera Nasional Indonesia menyertai konfrontasi.
28 Jun 1965: Serangan TNI yang menyeberangi Pulau Sebatik dan Tawau. Pertempuran dengan RAMD.
Penghujung 1965: Berlaku konflik domestic menerusi kudeta terhadap Soeharto. Konfrontasi menjadi reda serta merta.
28 Mei 1966: Penyelesaian konflik antara Malaysia dan Indonesia menerusi persidangan Bangkok.
Jun 1966: Kekerasan dan konflik senjata berakhir.
11 Ogos 1966: Perjanjian damai Malaysia-Indonesia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan