18 Mei 2012

PEMBUKAAN RASMI STESEN KERETAPI TAPAH ROAD

HARI INI DALAM SEJARAH MALAYSIA

Tarikh Peristiwa pada 18-05-1895
Sumber :http://www.arkib.gov.my/





Sebelum adanya sistem pengangkutan moden di negara kita, sungai adalah merupakan jalan perhubungan dan pengangkutan utama bagi penduduk di sini. Selain dari itu sungai juga adalah penting untuk berbagai aktiviti seharian penduduk. Penempatan dan bandar-bandar juga bermula di tebing-tebing sungai. Selepas kedatangan Inggeris beberapa sistem pengangkutan moden telah diperkenalkan di Tanah Melayu, seperti keretapi, kereta kuda, kapal wap dan sebagainya.




Di Negeri Perak landasan keretapi yang pertama di bina pada 1885 iaitu menghubungkan Kuala Sepetang (Port Weld) ke Taiping. Perak State Railway telah memainkan peranannya dalam membina jalan-jalan keretapi di negeri Perak. Selepas jalan keretapi Kuala Sepetang Taiping beberapa jalan utama telah dibuka antaranya Taiping -Kamunting (1890), Kamunting - Ulu Sepetang (1892), - Batu Gajah - Ipoh (1893), Kota Baharu - Batu Gajah (1894) dan sebagainya. Pada hari ini 18 Mei 1893, sebuah lagi stesen keretapi telah dibuka iaitu Tapah Road ke Teluk Intan telah dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith. Satu acara yang gilang-gemilang telah diadakan sempena perasmian stesen berkenaan. Turut hadir di Majlis Perasmian itu ialah Frank Swettenham, Residen Perak. Pada peringkat awal kontrak pembinaan landasan Tapah Road - Teluk Intan telah dibatalkan perancangan kerana halangan-halangan bentuk muka bumi di antara kedua-dua tempat berkenaan. Bagaimanapun dua orang jurutera Perak State Railway iaitu Spence Moss (Jurutera Penasihat Keretapi) dan Jurutera Tempatan Keretapi, T. Scott Gardner telah mengambil inisiatif untuk meneruskan pembinaannya. Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1893, jalan keretapi Tapah Road - Teluk Intan telah dapat disiapkan. Setelah terbinanya landasan keretapi ini telah dapat menghubung beberapa landasan lagi dari Tapah Road. Landasan ke Talam telah siap dibina setahun kemudian iaitu pada 1895. Sementara landasan Tapah Road ke Tanjong Malim telah dibina pada 1899 dan Tapah Road - Bidor pada tahun 1902. Landasan Tapah Road - Tanjung Malim telah menyambungkan jalan-jalan keretapi di Perak ke sempadan negeri Selangor. Pembinaan jalan-jalan keretapi telah mendekatkan lagi hubungan penduduk-penduduk dari Utara - Selatan. Perhubungan ini telah meningkatkan lagi kegiatan ekonomi, sosial dan kebudayaan serta menyumbang kepada perkembangan, pertanian dan pembangunan di negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan