Pages

14 Mei 2012

KD LEKIR TLDM DILANCARKAN

HARI INI DALAM SEJARAH MALAYSIA
Tarikh Peristiwa pada 14-05-1983
Sumber:  http://www.arkib.gov.my/



Kapal-kapal laut merupakan keperluan asas bagi Tentera Laut DiRaja Malaysia untuk menjalankan fungsi dan objektif yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Di antara beberapa buah kapal laut TLDM yang sering digunakan untuk latihan-latihan dan kawalan keselamatan perairan laut negara ini ialah KD Sri Indera Sakti, KD Paus, KD Pari, KD Gempita, KD Lekir dan lain-lain lagi.


KD Lekir TLDM adalah sebuah kapal jenis Corvette yang telah dibina oleh Howaldswerke - Deusche Werff AG Kiel, Republik Persekutuan Jerman. Kapal KD Lekir telah dilancarkan pada hari ini 14.5.1983 dan ditauliahkan 3 bulan kemudiannya. Kapal KD Lekir dinamakan adalah sempena nama pahlawan Kesultanan Melaka Hang Lekir yang telah berjasa dan menunjukkan taat setia kepada Sultan dan Kerajaan Melaka.  Untuk mengingati jasa-jasa beliau dan sebagai tanda penghargaan, kapal ini dinamakan dengan nama KD Lekir. Setelah pelancaran dan menerima pentauliahan KD Lekir telah kembali ke Tanah Air pada November 1984 dan seterusnya melaksanakan tugas operasi dan latihan bersama dengan kapal-kapal lain dalam TLDM. Pencapaian dan prestasinya yang baik telah menempatkan KD Lekir ditangga Ke 2 semasa pemilihan Piala Agong tahun 1986. Berkat ketabahan dan dedikasi serta kecemerlangan pegawai dan anak-anak kapal semasa pemeriksaan tahunan pada November 1987, sekali lagi KD Lekir telah berjaya memperolehi markah tertinggi di dalam pemeriksaan tersebut bagi tahun 1987-1988 dan dengan itu dianugerahkan Piala Agong. Sesungguhnya KD Lekir merupakan sebuah kapal TLDM yang telah berjaya memberikan perkhidmatan yang cemerlang untuk mengharumi nama Malaysia di seluruh pelusuk dunia, seganding dengan kapal-kapal laut TLDM yang lainnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan