Jumaat, 15 Jun 2012

PELANCARAN KAPAL RONDA POLIS DIRAJA MALAYSIA - JENIS PZ YANG KE 5 (KPD BALONG) DI PULAU PINANG


HARI INI DALAM SEJARAH MALAYSIA


Tarikh Peristiwa pada 15-06-1981


Sumber: http://www.arkib.gov.my/


Perlaksanaan beberapa program Kerajaan dalam bidang perkapalan telah dapat mempertingkatkan kemampuan teknik dan pengurusan kakitangan serta dapat meningkatkan pencapaian terbaik dalam industri perkapalan negara. Di samping itu juga, munculnya negara ini sebagai sebuah negara perkapalan dapat dilihat dari segi perkembangan yang berlaku di dalam perusahaan perikanan, perusahaan perkapalan dan pembesaran yang berlaku dalam Angkatan Tentera Laut, Pasukan Polis dan Kastam Diraja. Pada hari ini 15 Jun 1981, Menteri Pelajaran Malaysia, Y.B. Dato’ Musa Hitam telah merasmikan pelancaran Kapal Ronda Polis Diraja Malaysia, KPD Balong jenis PZ yang ke 5, bertempat di Pulau Pinang.
Di antara matlamat terpenting pembelian dan pelancaran kapal-kapal ronda yang terdahulu dan kapal ronda yang dilancarkan hari ini adalah seperti berikut:-



Untuk melengkapkan Cawangan Marin bagi menghadapi tugas dan tanggungjawab yang kian mencabar.
Untuk membolehkan Cawangan Marin meningkatkan lagi rondaan mereka di perairan Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak seluas 30,000 batu persegi.
Untuk memastikan nelayan-nelayan di perairan pantai dapat menjalankan perusahaan industri perikanan dalam keadaana aman dan sejahtera tanpa diganggu gugat oleh lanun ataupun anasir-anasir jahat dari dalam dan luar negeri.
Untuk memperketatkan lagi tugas mengawal dan mencegah kegiatan-kegiatan lanun dan penyeludupan di kawasan-kawasan yang tertentu di negara ini.
Untuk menghalang dan mengawasi kedatangan pendatang haram Vietnam ke negara ini, supaya negara tidak menjadi tempat dan kawasan bagi mereka menumpang nasib, di samping menyulitkan keselamatan negara.
Dalam ucapan perasmiannya Dato’ Musa Hitam berkata, bahawa pertambahan kawalan laut yang dijalankan oleh Marin Polis akan dapat memastikan industri perkapalan yang melibat ekonomi negara ini akan dapat diteruskan dengan keadaan aman dan tenteram serta selamat sehingga mencapai matlamatnya yang sebenar. Kedudukan negara ini adalah strategik dari segi geografi dan ekonominya. Oleh yang demikian sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan negara ini akan menjadi salah sebuah negara perkapalan yang terpenting di rantau ini.
Sesungguhnya dengan penggunaan kapal-kapal Polis Diraja Malaysia diharap akan dapat mengawal dan menjamin keselamatan perairan negara ke tahap yang lebih cemerlang dan mantap demi untuk kepentingan bersama.

Movie preview