2 Apr 2012

JEMPOL - KENANGAN DULU


Pada tahun 1982, bermulalah sejarah hidup sebagai anak peneroka Felda di Serting, Jempol Negeri Sembilan. Pertama kali menjejak kaki ke bumi gersang, aku hanya berusia 5 tahun. Ingatanku pada itu hanyalah melihat rumah yang dikelilingi hutan yang baru di tebang untuk ditanam pokok getah dan kelapa sawit. Tiada bekalan air dan elektrik. Hujan yang turun pada masa itu merupakan rahmat Allah membolehkan kami mendapat air yang bersih. Dan waktu hujan juga membolehkan ibu berehat daripada rutin mengandar air dari perigi bagi memenuhi tong-tong kosong di rumah. Malamku hanya bertemankan pelita minyak tanah yang menerangi kesunyian malam. Waktu itu aku rasakan terlalu lama masa bergerak bagi sang pungguk bagi diganti oleh kokokan ayam jantan di waktu pagi.


Gambar rumah peneroka yang asal.





Kini setelah 30 tahun masa berlalu, terlalu banyak kenangan silam yang berlalu tidak dapat diganti. Suasana kini berbeza  namun setiap kali aku kembali ke bumi Serting, hati kecilku sering dibuai kerinduan mengingati rakan-rakan sepermainan serta kenangan semasa kecil dahulu.

Bangunan Kompleks Petadbiran Daerah Jempol antara banguna yang terawal dibina yang menjadi mercu tanda di Felda Serting. Dahulu Felda ini dinamakan sebagai  nama Bandar Baru Serting.   Kemudian ditukar nama itu kepada BANDAR SERI JEMPOL dan kini di kenali sebagai Felda Raja Alias. Daerah Jempol mengandungi 5 mukim iaitu Mukim Serting Ilir,  Mukim  Jelai, Mukim Kuala Jempol,  Mukim Rompin dan Mukim Serting Ulu.  Keluasannya ialah 138,569 hektar,  dan jumlah penduduknya ialah 122, 814 orang.
Jempol merupakan antara daerah terbesar di Negeri Sembilan.  Daerah yang terletak bersempadan dengan Negeri Pahang.
Dahulu tempat ini menjadi destinasi wajib aku setiap petang kerana kemudahan telefon awam yang disediakan.

Sekiranya anda melihat Masjid ini,  bermakna anda sudah sudah sampai ke Bandar Raja Alias @ Seri Jempol. Sebenarnya Masjid ini adalah masjid kedua dibina Felda Raja Alias.


Di bawah ini merupakan Masjid Jamek Felda Serting yang merupakan masjid pertama dibina di sini. Imam Masjid ini aku rasa masih lagi dipegang oleh Ustaz Musa yang merupakan Guru yang mengajar pendidikan agama ketika aku bersekolah di sekolah agama rakyat.


Yang paling mengimbau kenangan adalah tempat aku mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah kebangsaan Serting Felda. Jika dilihat pada bangunan aku rasa hanya padang dan sebuah blok yang masih kekal, bangunan kayu yang lain sudah digantikan dengan bangunan yang lebih besar dan cantik. Paling best di padang sekolah ini pernah menjadi pesta bagi peneroka setiap kali ada golongan VIP datang melawat kerana ia menjadi tempat pendaratan helicopter NURI. Maklumlah jalan darat yang menghubungi Felda Serting pada masa itu tiada dan amat jauh.



Sekiranya anda pernah mendengar radio RTM, tepat pukul 6:15 akan berbunyi lagu sebelum sessi senaman dan pada masa yang sama juga aku akan dikejutkan oleh ibu untuk mandi. Mandi di waktu pagi bukan macam duduk dibandar yang ada air panas, sejuknya hingga terasa ke tulang. selalunya  2 dayung sudah cukup untuk menyegarkan tubuh. Tepat jam 6:40, masa untuk aku berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya hampir 1km. punyalah jauh tapi pada masa itu tidak terasa penat kerana anda akan ditemani lembaga berbaju putih yang ramai berjalan didalam gelap bersama-sama menuju kesekolah.  

Antara cikgu  yang berjasa mendidik aku seperti Cikgu Saufi, Cikgu Ramly dan paling aku ingat sir Ananda Siregar guru English yang cukup komited mengajar kami budak kampung yang bengap berbahasa English. Mungkin kerana niat guru -guru dulu yang ikhlas mengajar anak bangsa menyebabkan ramai dikalangan kami yang berjaya ke menara gading. 



Tapi kini Felda Raja Alias telah membangun selaras dengan status sebagai pusat petadbiran Daerah Jempol, kini ia dilengkapi dengan Bangunan Baru Ibu pejabat Polis Daerah Jempol yang baru beroperasi.


Selain itu ia juga dilengkapi dengan bangunan Arked MARA untuk golongan bumiputra menerokai perniagaan


Pejabat Pos yang amat berjasa pada penduduk Felda Raja Alias terutama golongan ibu bapa yang ingin mengirim wang pos kepada anak2 peneroka yang menuntut ilmu di luar.


Balai Bomba Jempol, walaupun kecil  tapi tetap komited membantu penduduk Daerah Jempol amnya.



Hospital Daerah Jempol yang baru cukup bermakna bagi penduduk Felda Raja Alias khususnya dan Daerah Jempol amnya yang meringakan penduduk yang sebelum ini terpaksa ke Kuala Pilah atau Seremban bagi mendapatkan perubatan. Cuma bilangan pakar harus ditambah supaya tidak menunggu terlalu lama bagi penyakit kritikal.


Kuater / Rumah guru yang serba moden mengantikan rumah kayu bagi menarik guru -guru terlatih berkhidmat di kawasan luar bandar. diharap guru - guru baru harus didedahkan dengan semangat guru - guru lama yang ikhlas dan komited mendidik anak luar bandar untuk berjaya. Mereka degil bukan kerana mereka bodoh, tetapi mereka tidak faham apa yang guru-guru ajar.




Deretan rumah kedai yang kini semakin rancak dengan perniagaan. Lepas ni tak payah gi bandar Bahau untuk membeli belah. Cuma perkhidmatan bank saja masih belum dibuka di Bandar Baru Jempol.

Berakit - rakit ke hulu,
Berenang -renang ketepian,
bersakit - sakit dahulu,
Bersenang - senang kemudian.





2 ulasan:

  1. 1st pic tu, was it u and ur family?

    BalasPadam
  2. Firstly congratulation you are the first people who put the comment and i really appreciate. nope, that not my family photo,

    BalasPadam