Jumaat, 9 November 2012

UNDANG-UNDANG TUBUH LEMBAGA URUSAN TABUNG HAJI (LUTH) DIPINDA


UNDANG-UNDANG TUBUH LEMBAGA URUSAN TABUNG HAJI (LUTH) DIPINDA

Tarikh Peristiwa pada 08-11-1975


Sumber: http://www.arkib.gov.my/
 Lembaga Urusan dan Tabung Haji adalah sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji No.8/1969 dengan mempunyai tugas-tugas iaitu menguruskan suatu kumpulan wang untuk menyelenggarakan wang simpanan berhubung dengan perlindungan, pengawalan dan kebajikan am orang-orang yang menunaikan Haji ke Tanah Suci dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Dalam melaksanakan Undang-Undang Tubuh Lembaga Urusan Tabung Haji, Kerajaan telah mendapati beberapa pindaan perlu dikaji dan dipinda untuk memberi kemudahan dan kebajikan kepada penabung-penabung. Pada hari ini 8 November 1975 Y.A.B.




Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak bin Hussein semasa merasmikan Kilang Kelapa Sawit Keratong Pahang telah mengumumkan bahawa Kerajaan sedang meminda Undang-Undang Tubuh Lembaga Urusan dan Tabung Haji bagi membolehkan badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan Islam menyimpan wang dalam Tabung Lembaga Urusan Tabung Haji. Perdana Menteri berharap semua Badan Islam akan menyimpan wang mereka di Tabung Haji apabila undang-undang ini diluluskan kelak. Di samping itu, badan-badan tersebut dapat menggunakan khidmat Jawatankuasa Penasihat Kewangan LUTH untuk menolong melaburkan wang mereka. Pengerusi Lembaga Urusan Dan Tabung Haji Dato’ Hussein Noordin semasa berucap dalam majlis tersebut juga telah mengumumkan bahawa mulai tahun 1976, jemaah-jemaah haji dari negara ini boleh mengeluarkan wang simpanan mereka di Mekah. Dengan itu mereka tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak dari rumah. Jelasnya lagi, Lembaga Urusan Tabung Haji merupakan sebuah institusi kewangan yang mempunyai banyak perancangan yang boleh mendatangkan hasil kewangan yang menguntungkan bagi bangsa Melayu. Sejumlah besar tabungan Lembaga Urusan Tabung Haji telah dilaburkan dalam berbagai bidang pelaburan yang halal dan sebahagian daripadanya lagi dikembalikan kepada penyimpan-penyimpan untuk tujuan menunaikan fardhu haji. Sesungguhnya Lembaga Urusan Tabung Haji ini telah diakui oleh dunia sebagai satu badan yang terbaik bukan sahaja kerana perkhidmatannya kepada Jemaah Haji malahan peranannya sering mendapat perhatian dan teladan kepada negara-negara luar.