Selasa, 20 Mac 2012

PERJANJIAN PENARIKAN KELUAR TENTERA BRITISH DARI MALAYSIA


HARI INI DALAM SEJARAH MALAYSIA

Tarikh Peristiwa pada 20-03-1968

Sumber: http://www.arkib.gov.my/


Walaupun telah mencapai kemerdekaan tentera British masih lagi kekal di Malaysia sebagai sebahagian daripada keperluan pertahanan negara ini.  Bagaimanapun pada hari ini 20.3.1968 satu Perjanjian Penarikan Keluar Tentera British dari Malaysia telah ditandatangani di Kuala Lumpur. Perjanjian ini ditandatangani oleh En. S.J.H. Zaidi selaku wakil Malaysia yang juga Presiden bagi Persatuan Kakitangan Awam Jabatan Perang (WDCSA) dan En. C.E. Starling, Pemerintah Angkatan Bersenjata Timur Jauh (FARELF) selaku wakil  pihak British. Turut hadir sama ialah En.V. Manickavasagam, Menteri Buruh dan Sir Michael Walker, Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia.



Perjanjian ini adalah sebahagian daripada keputusan British untuk mengundurkan tenteranya dari Malaysia pada penghujung tahun 1971. Ekoran dari itu seramai 20,000 orang akan kehilangan pekerjaan di mana 8,000 darinya adalah orang awam. Berdasarkan perjanjian itu mereka yang terlibat akan dibayar ganti rugi mengikut tempoh masa perkhidmatan. Kerajaan British menganggarkan wang sebanyak 60 juta ringgit akan dibayar kepada kakitangan terlibat. Menteri Buruh turut menyatakan rasa dukacita Malaysia dengan perjanjian itu yang dibuat pada masa keadaan ekonomi negara yang sedang merosot dan masih lagi berkonfrantasi dengan Indonesia. Beliau juga memaklumkan usaha kerajaan menempatkan mereka yang terlibat ke rancangan kemajuan tanah dan penempatan. Manakala bagi golongan muda akan di salurkan ke latihan perindustrian. Dengan termeterinya perjanjian ini maka berakhirlah hubungan ketenteraan di antara Malaysia dan British yang telah sekian lama terjalin. Ia juga merupakan satu tahap bermulanya pertahanan negara yang kian dimantapkan bagi menghadapi ancaman musuh-musuh negara.