4 Mac 2012

Kejayaan Operasi Sri Aman

 HARI INI DALAM SEJARAH MALAYSIA


Tarikh Peristiwa pada 04-03-1974

Sumber ; http://www.arkib.gov.my/


Di Sarawak bumi kenyalang juga tidak terkecuali daripada menerima tentangan hebat pengganas komunis yang digerakkan oleh Partai Rakyat Kalimantan Utara atau dikenali dengan nama PARAKU yang diketuai oleh BONG KEE CHOK.PARAKU terlebih awal telah merintis jejak perdamaian setelah termeterainya Perjanjian Sri Aman pada 21 Oktober 1973, yang melibatkan pihak PARAKU dengan kerajaan Malaysia. Sebagai Pengarah Komisar Politik PARAKU, Bong Kee Chok telah mendepani hasratnya untuk kembali ke pangkuan masyarakat dengan persetujuan meletakkan senjata seterusnya berdamai dengan pihak kerajaan pada tahun yang berkenaan.



Peranan Pasukan Keselamatan negara mempertahankan negara ini telah terbukti menonjolkan kemampuan yang bertaraf dunia. Ini jelas sekali dapat dilihat dengan kebijaksanaan pasukan keselamatan menghapus kegiatan komunis di negara ini. Bagi negeri Sarawak, usaha-usaha yang tidak pernah mengenal jemu serta penuh dedikasi pasukan keselamatan, pada hari ini 4.3.1974, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Haji Abdul Rahman Yaakub mengumumkan kejayaan Operasi Sri Aman di Dewan Pembangunan Tun Abdul Razak, Kuching. Operasi Sri Aman merupakan Gerakan Kerajaan membenteras pengganas komunis di negeri Sarawak. Operasi ini melibatkan 7 batalion angkatan tentera dan 4 batalion pasukan polis hutan. Pengumuman kejayaan gerakan ini berikutan penyerahan diri seramai 482 orang pengganas komunis kepada pihak berkuasa negeri Sarawak pada 18 Oktober 1973.


Berikutan penyerahan beramai-ramai, yang diketuai oleh Bong Kee Chok iaitu pemimpin tertinggi pasukan Gerila Rakyat Kalimantan Utara atau PARAKU. Rundingan damai di antara wakil-wakil Kerajaan dan wakil pengganas telah diadakan di Rumah Kerajaan Simanggang pada 19, 20 dan 21 Oktober 1973 di mana akhirnya satu perjanjian persefahaman telah ditandatangani apabila pihak pengganas bersetuju menerima keluhuran Pelembagaan Malaysia dan bersedia menamatkan perjuangan mereka. Hasil daripada persefahaman inilah Operasi Sri Aman telah ditamatkan pada 21 Oktober 1973. Dengan kejayaan ini gerakan keselamatan di Bahagian Pertama dan di kawasan RASCOM atau ‘Rajang Security Commad’ telah digantung buat sementara bagi membolehkan saki baki pengganas mengikut jejak rakan-rakan lain menyerah diri. Ekoran daripada kejayaan ini pada hari ini yang sama juga telah diadakan perarakan mengelilingi bandar Kuching di mana Ketua Menteri mengisytiharkan seluruh Sarawak bebas daripada perintah berkurung buat pertama kalinya dalam masa lebih daripada 11 tahun.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan