Ahad, 22 Januari 2012

Sistem Pengangkutan Awam Malaysia

Sistem Pengangkutan Awam Malaysia

Saya mempunyai impian yang kecil dimana saya masih berharap suatu masa nanti saya berpeluang merasai pengalaman  memandu kereta keluar  dari rumah yang terletak di Seremban menuju ke Stesen Komuter yang menyediakan bangunan meletak kenderaan bertingkat dengan sistem CCTV serta menawarkan harga  yang berpatutan. Sebaik meletak kereta , saya berjalan dengan penuh selamat menuju ke arah stesen utama dan   langkah kaki ini terhenti  seketika di ruang niaga yang  terdiri pelbagai kaum menjual pelbagai aneka  sarapan pagi yang menarik, suratkhabar dan mungkin kad tambah nilai. 
Sesekali melihat jam di tangan timbul perasaan bimbang  terlewat dan gagal menaiki tren tetapi hati kecil memujuk supaya bertenang kerana KTMB menjanjikan kekerapan tren setiap 10 minit membuatkan setiap penumpang boleh merangka perjalanan masing – masing.    Tepat  seperti dijadualkan tren sampai di platform  dan tidak lama kemudian pintu berbunyi menandakan ia akan ditutup secara automatik. Pada yang tidak sempat tidak mengapa kerana jadual kekerapan setiap 10 minit  tidak akan menghampakan penumpang. 

Menaiki tren yang menggunakan tenaga elektrik subsidi dari kerajaan sebagai salah satu cara menurunkan harga tambang begitu lancar sehinggakan ada penumpang mengambil  kesempatan membaca suratkhabar dan buku sekaligus menyahut seruan Kerajaan memupuk budaya membaca di kalangan rakyat. Bilangan penumpang semakin ramai menggunakan perkhidmatan  KTM Komuter kerana menawarkan  pejalanan yang selesa serta murah menyebabkan ramai pengguna bijak tidak lagi memandu kenderaan ke tempat kerja. Langkah bijak KTMB  secara langsung menolong kerajaan mengurangkan subsidi  bahan bakar yang semakin mahal serta tidak konsisten dan secara tidak langsung mengurangkan kesesakan di lebuhraya utama.

Tindakan Kerajaan menaiktaraf pengangkutan awam secara tidak langsung menjimatkan duit rakyat yang sering  digunakan menerusi beberapa kempen keselamatan jalan raya yang dilaksanakan oleh MIROS serta beberapa agensi kerajaan dan yang paling penting dapat menyelamatkan nyawa golongan pelapis negara yang ramai  tewas di jalan raya.  
Tren komuter kini  akan melalui Stesen Kajang dan Serdang yang mempunyai bilangan penumpang yang ramai. Namun kerana tren yang disediakan  mempunyai  gerabak yang banyak serta  mampu menampung bilangan penumpang yang ramai walaupun terpaksa berhimpit sedikit asalkan dapat sampai ke tempat kerja dengan selamat. 
Impian kecil inilah yang setiasa berada di hati dan kotak fikiran pengguna pengangkutan awam di Malaysia. Sejak tahun 2004 sehingga sekarang masalah ini masih belum selesai  sepenuhnya dan pengguna hanya didendangkan dengan pelbagai pengumuman, cerita indah mengenai cadangan dan sebagainya namun realitinya masih cerita yang sama. Mungkin disebabkan kecewa  dengan senario ini  menjadi  salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan BN di kawasan bandar. 
Saya juga tertarik kepada kenyataan  yang  dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Idris Jala yang menyatakan bahawa   Malaysia menuju  kearah negara muflis pada 2019 sekiranya  pemberian subsidi kepada rakyat tidak dihapuskan segera. 

Saya bukanlah seorang ahli ekonomi  tetapi saya bersetuju dengan kenyataan tersebut kerana sudah sampai masanya kerajaan menghapuskan semua subsidi bagi membolehkan wang tersebut disalurkan kepada sektor yang memerlukan dan seterusnya membolehkan  Malaysia menjadi Negara maju tetapi penghapusan subsidi tanpa menyediakan pilihan alternatif  kepada rakyat Malaysia bermakna ia akan mengundang bencana kepada Kerajaan Pusat yang memerintah.

 Semenjak Tun Mahathir bersara sebagai Perdana Menteri  saya berpendapat semua rakyat Malaysia termasuk diri saya akan bersetuju  petadbiran Negara seperti kehilangan arah dan tujuan walaupun Tun Mahathir telah menetapkan sasaran menjadikan Malaysia Negara Maju pada tahun 2020. Kita saban hari sering disajikan berita politik yang  memualkan penuh dengan fitnah dan sebenarnya tidak menguntungkan kepada rakyat keseluruhan sehingga petadbiran negara dilihat terikut –ikut arus  fitnah dengan mengadakan pelbagai Suruhanjaya Diraja dan pelbagai jenis “inquest”  yang hanya menguntungkan golongan peguam yang sudah diketahui  mempunyai pendapatan yang lumayan.
Penghapusan subssidi kepada rakyat boleh dilaksanakan dengan berperingkat dan pegawai kerajaan haruslah rajin turun kebawah mendekati rakyat serta mengambil tahu masalah  sebenar yang dihadapi oleh  rakyat . Umum  mengetahui bahawa Menteri di setiap Kementerian  akan datang dan pergi setiap 5 tahun  maka  amanah  yang dipikul oleh setiap pegawai kerajaan adalah amat besar kerana mereka sebenarnya yang melaksana, memantau dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap aduan rakyat bukannya  menyerah sepenuhnya kepada Menteri .
Secara umumnya  masalah rakyat Malaysia yang bekerja di Lembah Klang sememang telah diketahui oleh pemimpin atasan namun pelaksanaannya sehingga sekarang hanya sekadar indah khabar dari rupa.

Sistem Pengangkutan Awam yang efisien   
Bagi penduduk Lembah Klang, mereka mengimpikan sistem pengangkutan awam yang mudah, murah dan tepat.  Sejak Tun Mahathir bersara sehingga sekarang tiada peningkatan dalam sistem pengangkutan awam walaupun acap kali sudah bertukar pengurusan. Sistem LRT Ampang Line dan Kelana Jaya Line sudah mencapai tahap maksimum dan keputusan menambah bilangan tren bagi menampung kenaikan penumpang memang wajar dilakukan.
Setakat hari ini sistem LRT ini merupakan contoh terbaik dalam menyediakan kemudahan yang dikehendaki oleh penggunanya.  Namun pelaksanaan penambahan landasan  dan stesen LRT Fasa 2 harus dilaksanakan dengan segera pembinaannya.  Rakyat Malaysia sebenarnya sudah jemu dengan kaedah pengumuman projek bernilai tinggi yang dilaksanakan oleh pemaju atau kerajaan sekarang.  Rakyat Malaysia sudah bijak menilai kerana semua sedia maklum sekiranya  majlis pecah tanah atau perasmian bagi sesuatu projek  diadakan secara besar-besaran maka jawapannya projek itu tiada dana bagi membinanya hanya sekadar lakonan yang disajikan kepada rakyat.  

KTM Kommuter  yang cukup sinomin dengan gelarannya iaitu Keretapi Tanah Melayu kerap menjadi kritikan ramai penggunanya kerana tahap perkhidmatan dan pengurusannya yang   dikatakan masih di takuk lama dan seperti tidak mahu berubah.  Malah sudah masanya  pengurusan  KTM Komuter yang menyediakan laluan dari  Seremban dan Klang di swastakan  agar tahap perkhidmatan mampu dipertingkatkan.  KTM Komuter harus mencontohi  Sistem LRT KL Rapid yang menjana pendapatan bukan bersandarkan  kepada jualan tiket tetapi elemen lain seperti pengiklanan dan sewa tapak perniagaan.  Tidak seperti LRT , KTM Komuter masih memiliki tanah yang cukup besar bagi membina tempat letak kereta yang besar dan ruang  tapak kedai yang boleh di bina.  Sekiranya kedua keperluan ini mampu di capai oleh pihak pengurusan nescaya ia mampu membantu kerajaan menghapuskan subsidi yang ditanggung setiap tahun.

Malah sekiranya projek bernilai besar atau mega  dapat diwujudkan maka secara tidak langsung mampu meningkat peluang pekerjaan bagi sektor pembinaan yang semakin tenat. Walaupun di label oleh ramai pihak  projek bernilai besar sebagai pembaziran dan hanya menguntungkan kroni tertentu tetapi terbukti ia memberi impak yang besar bagi banyak sektor sehingga penjual nasi lemak di tapak pembinaan akan  menikmati keuntungan hasil jualan kepada pekerja binaan yang terlibat didalam projek mega tersebut.  Penyediaan sistem pengangkutan awam yang efisien mampu mengurangkan bilangan kenderaan menggunakan petrol dan diesel yang merupakan penerima terbesar subsidi kerajaan hari ini.
Namun adakah Kerajaan pimpinan Dato Seri Najib Tun Razak bersedia melaksanakan segera perubahan ini? . Mungkin impian kecil ini akan menjadi realiti sejajar dengan saranan Perdana Menteri kita Dato Najib Tun Razak yang telah menetapkan sasaran terkandung didalam NKRA yang harus dicapai didalam petadbiran beliau. Sekali lagi pengguna pengangkutan awam terpaksa menanti dan menaruh harapan agar impian kecil ini menjadi kenyataan.  Kadang kala sumbangan kecil kerajaan kepada rakyat sebenarnya adalah sebesar  nikmat  bagi rakyat.