Isnin, 23 Januari 2012

Penyelenggaraan Lampu Jalan Di Malaysia


Penyelenggaraan Lampu Jalan Di Malaysia


Apabila memperkatakan mengenai lampu jalan, ramai yang kurang peduli  kewujudannya sekiranya ia berfungsi menerangi jalan raya, bandar, kawasan taman perumahan dan kedai di waktu malam. Malah rekabentuk tiang bagi lampu jalan menjadi tarikan dari segi landskap yang menarik sepertimana yang terdapat di Putrajaya. Selain itu kebaikan utama pemasangan lampu jalan membantu meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta penurunan kadar jenayah.

Namun sekiranya lampu jalan tersebut tidak berfungsi disebabkan oleh penyelenggaraan yang tidak efisien,  barulah kita sedar bahawa setiap lampu jalan tersebut sebenarnya dimiliki dibawah bidang kuasa yang berbeza. Percaya atau tidak setiap lampu jalan yang menerangi malam lazimya bukanlah  sumbangan ikhlas dari pihak TNB dan secara keseluruhannya setiap tenaga yang digunakan untuk memastikan setiap lampu bernyala setiap malam datangnya dari duit poket kita sendiri menerusi pelbagai jenis cukai samada melalui kerajaan mahupun pihak berkuasa tempatan.

Adakah kita sedar tentang jumlah yang harus ditanggung setiap bulan oleh pemilik yang menguruskan tiang lampu seperti JKR, Majlis Pembandaran,Pihak Konsesi Lebuhraya dan sebagainya.  Malah beban yang harus ditanggung oleh oleh pemilik lampu jalan bukan setakat membayar bil bulanan yang di caj oleh pihak TNB tetapi meliputi  pengantian mentol lampu,  tiang lampu itu sendiri akibat di langgar oleh kenderaan dan yang paling teruk pengantian wayar kabel disebabkan kecurian bagi mendapatkan tembaga.

Kebanyakkan dari kita lebih tertarik kepada isu pemberian kontrak pemasangan lampu jalan, mempertikaikan jumlah kos pembinaan yang tidak munasabah dan kronisme namun kita tidak pernah mengetahui bahawa kos penyelenggaraan adalah lebih membebankan daripada kos membina dan memasang tiang lampu.

Kenaikan tarif elektrik oleh TNB menambahkan lagi beban yang harus ditanggung oleh pihak pemilik lampu jalan. Peruntukkan tambahan diperlukan oleh pemilik lampu jalan bagi memastikan ia tetap bersinar diwaktu malam dan tiada siapa yang mengambil peduli. Kos penyelenggaraan yang semakin bertambah setiap tahun sekiranya dapat dijimatkan membolehkan ia disalur kepada  sektor yang lebih  menguntungkan rakyat.

Persoalan yang timbul sejauhmana tahap pengurusan nilai bagi wang kerajaan oleh agensi terbabit mengenai kerja – kerja pemasangan dan penyelenggaraan lampu jalan dilaksanakan serta bersediakah  pihak pemilik lampu jalan berubah sejajar dengan dasar Kerajaan mengalakkan teknologi hijau bagi menghasilkan budaya penyelenggaraan mapan.

Secara umum mengetahui bahawa Kementerian Kerja Raya bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyenggara sejumlah 18,577 kilometer Jalan Persekutuan di seluruh negara termasuklah lebuhraya bertol. Selaras dengan langkah mengurangkan kos penyelenggaraan yang tinggi , pemasangan lampu jalan menggunakan teknologi Light Emitting Diode (LED) sebagai kaedah alternatif kepada teknologi sedia ada amatlah menjadi keutamaan bagi kementerian terbabit.

Teknologi LED ini telah sebenarnya telah lama wujud dan namun ia masih belum digunakan secara meluas khususnya bagi lampu jalan di Jalan Persekutuan di Malaysia. Selain dapat memberikan kecerahan, penggunaan teknologi ini antara lainnya dapat mengurangkan penggunaan tenaga dan kadar haba yang dibebaskan, selari dengan promosi penggunaan teknologi hijau yang pastinya lebih mesra alam dan dapat mengurangkan fenomena pemanasan global. Di samping itu, teknologi LED ini juga mampu menjimatkan kos bil elektrik lampu jalan kerana menggunakan tenaga voltan yang lebih rendah berbanding lampu biasa. Kos penyenggaraan bagi penukaran lampu jalan juga dapat dijimatkan kerana jangka hayat bagi LED ini adalah 3 kali ganda daripada jangka hayat lampu jalan sedia ada.

Kerajaan telah berbelanja hampir RM5 bilion dalam tempoh sepuluh tahun ini, ataupun kira-kira RM500 juta setahun iaitu dari 2001 sehingga 2010 bagi menyenggara kesemua Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia. Peruntukan yang disediakan ini adalah untuk penyenggaraan kerja-kerja rutin, berkala dan kecemasan termasuklah kos pembiayaan lampu jalan.
Pebelanjaan amat besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan kini harus dirombak kaedah pelaksanaannya dengan melaksanakan satu skim pembiayaan khusus bagi membantu pelbagai pihak menaik taraf sistem utiliti mereka menggunakan produk teknologi hijau atau penjana tenaga elektrik mesra alam.

Seiring dengan kos tenaga yang semakin meningkat akibat pengantungan secara berterusan kepada bahan api fosil sudah sampai masanya Malaysia menyahut cabaran dengan melaksana teknologi hijau secara meluas dengan mewujudkan skim pembiayaan  pinjaman bagi membolehkan bebanan kerajaan tempatan untuk menukarkan lampu jalan di bandar utama kepada lampu LED akan tercapai dan penjimatan kos utiliti kerajaan untuk jangka masa panjang.