Isnin, 30 Januari 2012

JEMPOL MENGORAK LANGKAH MENTRANSFORMASIKAN ICT DAN JALUR LEBAR



Digital Jempol 1Malaysia
NS/JPL/PEN:2(SKMM)
Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia telah mengeluarkan kenyataan seperti berikut:
KENYATAAN MEDIA
DIGITAL JEMPOL 1MALAYSIA

JEMPOL MENGORAK LANGKAH MENTRANSFORMASIKAN ICT DAN JALUR LEBAR


Digital Jempol 1Malaysia merupakan satu lagi inisiatif di bawah pelaksanaan Pelan Jalur Lebar Nasional yang telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB. Perdana Menteri Malaysia pada 24 Mac 2010. Sejajar dengan langkah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang dihubung secara digital, Jempol, sebuah daerah yang berjiran dengan daerah Jelebu, Negeri Sembilan turut sama menyertai Digital Pekan (Pahang) dan Digital Pagoh-Muar (Johor) di dalam rangkaian projek Daerah Digital yang sedang dilaksanakan. Program ini akan dijalankan selama dua (2) hari bermula dari 13 Disember 2010 jam 8.00 pagi dan berakhir pada 14 Disember 2010 dimana perasmiannya akan dilakukan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, YB. Dato'' Seri Utama Dr. Rais Yatim pada 14 Disember 2010 jam 2.00 petang.

APAKAH MAKSUD DAERAH DIGITAL?

Daerah Digital merupakan satu projek penting di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) bagi mencapai sasaran penembusan jalur lebar isi rumah pada kadar 50% menjelang 2010.

Daerah Digital merupakan sebuah program yang memberi manfaat teknologi digital untuk dinikmati oleh penduduk daerah menerusi penyediaan kemudahan dan perkhidmatan ICT dan jalur lebar. Projek ini juga menyumbang ke arah pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat daerah di samping merapatkan jurang digital di segenap pelosok.

Strategi Daerah Digital menggunakan ‘building Block’. Ia merupakan konsep pelaksanaan yang bermula dengan unit-unit kecil. Melalui integrasi unit-unit kecil ini, kita dapat mewujudkan negeri-negeri Digital (Digital States) dan seterusnya akan menghasilkan Negara Digital (Digital Nation). Berasaskan tunggak 3K – Kesambungan, Kandungan dan Kemampuan, ekosistem daerah digital mampu merangsang populasi sesebuah daerah menerusi penggunaan jalur lebar untuk mengakses internet bagi tujuan maklumat, pendidikan, hiburan, e-mail, melayari rangkaian sosial secara global di ruang siber, mendapatkan maklumat dan urusan di atas talian seperti e-Kerajaan dan e-Dagang, dan sebagainya.

Kesambungan yang terhasil dari penyediaan infrastruktur untuk daerah yang dihubungkan secara digital akan menjadi pemangkin ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat pada masa akan datang. Ia merangkumi pelbagai infrastruktur komunikasi seperti jaringan wayar tembaga dan optik gentian, jalur lebar tanpa wayar dan rangkaian selular, WiFi hotspot, penyiaran dan rangkaian satelit. Kandungan pula merangkumi pelbagai perkhidmatan dan aplikasi sepadan yang disampaikan menerusi infrastruktur dan disokong dengan peralatan digital merangkumi suara, video dan data.

Manakala Kemampuan ialah urusan dengan orang ramai yang menggunakan teknologi untuk penyampaian termasuk penyelesaian tempatan di samping menggalak dan membangunkan kemahiran yang membolehkan orang ramai mengeksploitasi ekonomi, persekitaran dan faedah-faedah sosial inovasi digital. Bagi mewujudkan Daerah Digital, beberapa teras dilaksanakan merangkumi penyediaan infrastruktur dan akses, aplikasi dan pendidikan serta kandungan komuniti. Usaha ini juga membudayakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya ia menjadi sebahagian gaya hidup rakyat.

INISIATIF DIGITAL JEMPOL

Inisiatif Digital Jempol terdiri daripada beberapa projek baru selain daripada projek Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di kawasan tersebut.

Bagi Fasa 1 projek tersebut, ialah:
i.              Pelaksanaan Experience Centre atau Pusat Ilmu untuk kegunaan masyarakat setempat bertujuan bagi mendapatkan maklumat mengenai komunikasi, multimedia dan teknologi. Pusat ini akan membolehkan masyarakat menikmati perkhidmatan Internet dan perisian multimedia secara percuma.
ii.             Pelaksanaan akses Internet tanpa wayar secara percuma di sekitar bandar dengan ruang liputan radius bersama-sama dengan beberapa hotspot dalam tempoh yang ditentukan kemudian. Liputan ini akan meliputi kawasan Daerah Jempol.
iii.            Pelaksanaan ‘Virtual Jempol Memoria’ yang merangkumi beberapa program yang dapat mewujudkan permintaan terhadap ICT dan melibatkan seluruh lapisan masyarakat di Jempol. Pelaksanaan ini bertujuan merapatkan jurang digital, meningkatkan kemahiran ICT individu dan sebagai landasan kepada umum untuk menghayati budaya dan warisan negara.
iv.            E-Jempol-Penyampaian dan pelaksanaan Perkhidmatan e-Kerajaan.
v.             Pelaksanaan kempen kesedaran jalur lebar dan ICT secara berterusan termasuk mengadakan kempen kesedaran bagi mempromosikan inisiatif jalur lebar di daerah Jempol.


News for Jempol