Sabtu, 28 Januari 2012

Masalah Gangguan Bekalan Air di Felda Raja Alias


Masalah Gangguan Bekalan Air di Felda Raja Alias, Jempol, Negeri Sembilan

Dijangkakan  Selangor dan Kuala Lumpur akan terjerumus semula didalam bencana krisis air pada tahun 2012  sekiranya pembangunan loji tadahan air bagi projek Water Transfer Pahang to Selangor masih tidak dapat diselesaikan melalui kesepakatan bertunjangkan kepada kepentingan rakyat.


Saya juga tertarik dengan keikhlasan Menteri Besar N.Sembilan yang sanggup membantu Selangor sekiranya bencana krisis air berlaku. ia ibarat seperti orang susah menolong orang yang senang tetapi degil apatah lagi penduduk di Negeri Sembilan sendiri pada waktu ini seperti berada di zon krisis akibat catuan air yang tidak secara rasmi berlaku akibat daripada gangguan bekalan air yang semakin teruk.

Bagi penduduk yang berada pinggir dari bandar utama seperti di Jempol kekerapan gangguan bekalan air semakin teruk walaupun aduan melalui tele-komunikasi telah acap kali disuarakan namun kata – kata seperti “ minta maaf masalah paip pecah mengganggu bekalan air, diminta bersabar kerja – kerja pembaikan sedang dilaksanakan “  yang sering ke udara sudah menjadi halwa telinga sehingga masyarakat peneroka sudah menjadi tawar hati membuat aduan. Mereka berharap pihak bertanggungjawab yang memegang amanah masih prihatin mengenai masalah mereka.

Kebanyakkan peneroka di Felda Raja Alias Jempol  khususnya telah memasuki  rancangan Felda sejak tahun 1981 bermulah detik kehidupan sebagai peneroka yang  mendiami rumah kayu dikelilingi hutan yang baru di tebang dan sedang ditanam pokok getah dan kelapa sawit. Kehidupan golongan ibu dan bapa iaitu Peneroka  ketika itu tanpa kemudahan asas iaitu bekalan air dan tenaga elektrik namun semua ditempuh kerana  mereka semua mempunyai semangat kental mahu berubah.  Sumber air minum kami dari air hujan  dan air paya.  Sumber dari air perigi kadang kala tidak  mencukupi kerana terpaksa berkongsi  sama rata. Sumber cahaya kami hanya bertemankan pelita. Saya sehingga kini masih merasai pengorbanan golongan ibu – ibu kami mengandar air sejauh 500m dari sumber air terdekat setiap hari  pagi dan petang bagi memastikan tong- tong air di rumah dipenuhi bagi kegunaan seharian.  Kadang kala kedatangan lori air yang di hantar oleh pihak pengurusan Felda merupakan rahmat yang amat besar  kerana berperluang merasai air yang jernih warnanya. Hendak mengharapkan hujan agak sukar kerana cuaca panas melanda dari bulan februari sehingga julai hanya mengundang debu akibat jalan bertanah merah. Namun yang mengagumi saya, masyarakat  peneroka tidak pernah mengadu. Kesemua kerisauan yang terpancar di wajah mereka hanya dipendam dan berdoa agar golongan pemimpin masih  prihatin dengan nasib mereka. Alhamdulilah pada tahun 1987, bekalan air mula memasuki kawasan Felda Raja Alias   dan kegembiraan meneguk air jernih melalui batang paip tidak dapat digambarkan dengan kata kata.

Masyarakat Peneroka Felda Raja Alias 3 juga amat bersyukur dengan kemakmuran ekonomi negara terutama pada era emas 1990 – 1997 mendapat tempias dari aspek pembangunan. Pembinaan taman perumahan  di Bandar Baru Jempol, bangunan petadbiran kerajaan negeri, balai bomba,  Balai polis Daerah Jempol, Hospital baru Jempol, bangunan kedai dan pejabat secara langsung membuktikan kerajaan tidak meminggirkan masyarat peneroka Felda Raja Alias khususnya. Namun pembangunan pesat ini tidak selaras dengan penaiktarafan bekalan air air di Jempol mengakibatkan keupayaan loji Rawatan Air Jempol mencapai tahap maksima.


Sejak tahun 2006, masalah gangguan dan kekurangan bekalan air bermula dan menjejaskan kehidupan masyarakat Felda Raja Alias 3. Masalah ini semakin buruk kerana bekalan air hanya memberi keutamaan kepada kawasan perumahan dan kedai serta bangunan petadbiran kerajaan (Hospital , Balai Polis) sekaligus mula meminggirkan masyarakat Felda Raja Alias 3. Seperti  kelaziman , kawasan penempatan peneroka Raja Alias 3 hanya memperolehi bekalan air selepas waktu puncak (seringkali bermula pukul 9 malam sehingga pukul 5 pagi) dan waktu tersebut di manfaatkan peneroka memenuhi tong- tong simpanan air milik mereka kerana bimbang gangguan air akan berlarutan akan mengakibatkan mereka keputusan bekalan air bagi tempoh masa yang lama.

Merujuk kepada Hasard Parlimen Sesi Januari – April 2009 oleh  wakil parlimen Jempol Datuk Lilah Yasin kepada Menteri Tenaga,Air dan Komunikasi mengenai perancangan kerajaan  bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air di Daerah Jempol dan berapakah peruntukan yang telah diluluskan untuk menggantikan paip-paip yang telah uzur.

Menteri terbabit  telah mengatakan bahawa  program penggantian paip-paip uzur di daerah ini yang merupakan satu program yang berterusan, jumlah keseluruhan kos terlibat adalah dianggarkan sebanyak RM280 juta.Kerajaan Negeri akan  melaksanakan program ini secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan. Pada tahun 2008, Kerajaan Negeri telahpun membelanjakan sebanyak RM1.5 juta untuk tujuan tersebut.
Di bawah program NRW pula,  peruntukan sebanyak RM15 juta telah disediakan dalam RMKe-9 dan projek dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh rancangan.  Program ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kehilangan air di Daerah Jempol daripada 47 % kepada 25 %.  Pengurangan ini akan menjadikan pengagihan air lebih cekap dan menyeluruh.  Bagi meningkatkan pengeluaran air terawat di Daerah Jempol, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan program menaiktaraf Loji Rawatan Air Jempol yang dapat meningkatkan pengeluaran daripada 7 juta gelen sehari kepada 10 juta gelen sehari. Bagi mencapai tujuan tersebut, kerajaan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM42 juta di bawah RMK 9.
Namun sehingga kini kita telah memasuki RMK - 10, masalah kekurangan bekalan air masih  belum selesai. Jika hendak dinilai kepada kekerapan gangguan bekalan air yang melanda masyarakat  Felda dengan mengambil contoh pada tahun 2008,  kami terpaksa membeli tangki luar berkapasiti menampung 100 gallon sebagai langkah berjaga-jaga akibat bekalan air yang sering terganggu.  Pada penghujung tahun 2009, kami terpaksa membeli tangki PVC tambahan berkapasiti 250 gallon menjadikan jumlah keseluruhan 350 gallon dan pada Jun 2011  akibat gangguan yang masih berterusan memaksa menambah satu lagi tangki PVC berkapasiti 400 gallon sebagai langkah selamat.

Masyarakat Felda yang majoritinya adalah penyokong setia Kerajaan BN dan selagi kudrat masih terdaya mereka tidak akan bertindak dan mencari penyelesaian  dijalanan seperti yang sering dilakukan oleh golongan pemimpin yang mendakwa mereka pejuang keadilan.  Namun pengaruh dari anasir – anasir luar yang semakin bertapak menabur fitnah dengan mengambil kesempatan dari masalah gangguan dan kekurangan bekalan air di kawasan Felda Raja Alias amat dikesali. Dikhuatiri hujah berdasarkan perpepsi dan gimik murahan akan mempengaruhi minda masyarakat Felda Raja Alias 3 secara sedikit demi sedikit sekiranya tidak ditangani  serius dari pihak Dato/Tuan dan dikhuatiri akan menumbangkan Kerajaan sekarang kerana pengundi  baru terdiri dari generasi ke-2  semakin kecewa dengan keadaan sekarang.

Masyarakat peneroka sedar akan  kekangan kewangan yang dihadapi oleh pihak SAINS dan Kerajaan Negeri Sembilan yang  terpaksa mengutama keperluan mendesak  di Daerah Seremban,Rembau dan Port Dikson yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.  Kami juga sedar dengan peruntukkan Kewangan Kerajaan Pusat  yang harus mengutamakan kepada sektor yang memerlukan seperti membantu masyarakat bandar terutama di Selangor dan Kuala Lumpur yang memerlukan peningkatan taraf pengangkutan awam  seperti MRT dan LRT Extension Project, penyelesaian masalah kekurangan bekalan air bagi Selangor dan Kuala Lumpur  menerusi “ Water Transfer Project” dari Pahang ke Selangor dan sebagainya

Sedar akan peruntukkan bagi program pengantian paip air  dan penaiktarafan loji rawatan air untuk dilaksanakan  pada “ Rolling Plan – Ke2 RMK-10”  adalah mustahil dan langkah jangka pendek Pihak SAINS menyediakan lori air juga tidak begitu efisien kerana rata – rata Peneroka sudah memasuki usia emas. Kudrat mereka sudah tidak segagah dulu dan  dan ramai yang uzur kerana sakit tua.

Malangnya oleh kerana gaya korporat akibat penswastaan yang hanya memikirkan keuntungan,masalah ini hanya didiamkan kerana bersandarkan pada hakikat semasa bahawa golongan yang ada tidak tahu kemana aduan harus diadukan.

Seharusnya golongan yang menduduki kerusi Lembaga Pengarah GLC harus mencontohi  Tindakan  Naib Presiden Tokyo Electric Power Company, Norio Tsuzumi yang mengendalikan loji nuklear itu bersama kakitangannya menunduk kepala sebagai tanda memohon maaf kepada mereka yang tinggal di sekitar loji nuklear itu yang terpaksa dipindahkan ke kawasan perlindungan di Koriyama di daearah Fukushima, 60 kilometer ke barat loji nuklear itu ekoran krisis yang berlaku walaupun hakikatnya diakibatkan oleh bencana alam.